Syarahan Yang Keenam
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang
Jauhkanlah diri dari orang ramai dengan perintah Allah, dan dari nafsu kamu dengan perintahNya, dan dari kehendakmu dengan lakuanNya, agar kamu layak menjadi bekas untuk mengisi ilmu Allah. Tanda kamu telah menjauhkan diri dari orang ramai ialah kamu telah seluruhnya memutuskan segala perhubungan dengan orang ramai dan membebaskan fikiran-fikiran kamu dari segala apa yang bersangkutan dengan mereka.
Tanda kamu telah putus dari nafsu-nafsu kamu ialah kamu telah membuang segala usaha dan daya untuk dunia dan perhubungan dengan cara-cara dunia untuk mendapatkan apa-apa faedah dan menghindarkan bahaya dan kamu janganlah bergerak untuk kepentingan kamu sendiri. Janganlah kamu bergantung dengan diri sendiri tentang perkara yang bersangkutan dengan diri kamu, janganlah kamu melindungi diri kamu dan menolong diri kamu sendiri. Serahkan segala-galanya kepada Allah kerana Dia-lah yang menjaga dan memelihara segala-galanya semenjak dari azali lagi sehinga abadi selama-lamanya. Dial-ah yang menjaga kamu dalam perut ibumu sebelum kamu lahir dan Dia-lah yang memelihara kamu semasa kamu masih bayi.
Tanda kamu telah hilang dari kehendak kamu dengan lakuan atau perbuatan Allah ialah kamu tidak lagi melayan apa-apa hajat dan kamu tidak ada apa-apa matlamat atau tujuan, kamu tidak lagi ada keperluan atau maksud kerana kamu tidak
ada tujuan atau keperluan lain selain dari Allah semata-mata. Lakuan Allah pun terzahir pada kamu dan pada masa pergerakkan kehendak dan lakuan Allah itu, kamu hanya persiap pada badan, tenang dalam hati, luas fikiran, mukamu berseri-seri dan jiwamu bertambah subur. Maka kamu akan terlepas dari keperluan kebendaan kerana kamu telah berhubung dengan Al-Khalik (pencipta). Tangan kuasa akan menggerakkan kamu. Lidah abadi akan memanggil kamu, Tuhan sekelian alam akan mengajar kamu dan memberi pakaian dengan cahaya dari diri-Nya dan dengan pakaian kerohanian dan akan meletakkan kamu dalam peringkat orang-orang alim yang terdahulu.
Selepas pengalaman ini akan bertambah hancurlah ‘hati’ kamu sehingga hapuslah hawa nafsu dan kehendak kamu umpama tempayan yang pecah yang tidak mengandungi air walau setitik pun. Kosonglah kamu dari semua lakuan-lakuan kemanusiaan dan diri kamu tidak menerima yang lain kecuali kehendak Allah. Pada peringkat ini kamu akan dikurniakan keramat-keramat (karamah) dan perkara-perkara yang luar biasa. Perkara-perkara itu pada zahirnya dating dari kamu tetapi sebenarnya adalah lakuan dan kehendak Allah jua.
Maka masuklah kamu dalam golongan orang-orang yang telah pecah hatinya dan telah hilang nafsu-nafsu kebinatangannya. Selepas itu akan diberi sifat-sifat keTuhanan Yang Maha Tinggi. Berkenaan hal inilah Rasulullah SAW telah bersabda: “ Aku gemar tiga perkara dari dunia ini, bau-bauan yang harum, perempuan dan sembahyang yang mataku sejuk di dalamnya. Semua ini diberi kepadanya setelah kehendak-kehendak dan nafsu-nafsu yang tersebut dahulu itu lepas dari dirinya. Allah berfirman: “Aku bersama dengan mereka yang pecah hatinya kerana Aku.”
Allah SWT tidak bersama kamu sekiranya semua nafsu dan kehendak kamu itu tidak dihancurkan. Apabila semua hancur dan tidak ada lagi yang tinggal pada kamu, maka kamu sesuailah untuk ‘diisi’ dengan Allah dan Allah akan menjadikan kamu orang baru yang dilengkapi dengan tenaga dan kehendak yang baru pula.
Filed under: Futuhul Ghaib | Tagged: Futuhul Ghaib, islam, Jilani, Pembukaan Kepada Yang Ghaib, Qadir, religion, Sheikh, wali wali | 2 Comments »